Allah SWT meluas dan menyempitkan sebahagian rezeki hamba-Nya. Oleh itu, ketika kita diamanahkan rezeki, harus ada dalam fikiran kita bahawa mungkin sebahagian daripadanya ada hak orang lain yang memerlukan.
Salah satu jalannya juga sebagai tanda bersyukur ialah dengan cara menginfakkan sebahagian harta kita dan diberikan kepada yang memerlukan, seperti anak-anak yatim, orang miskin dan sebagainya. Allah SWT berfirman:
قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَهُ ۚ وَمَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ ۖ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya)”. Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya. (Saba: 39)
وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا یَشۡكُرُ لِنَفۡسِهِۦۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّی غَنِیࣱّ كَرِیمࣱ
“Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah” [Surah an-Naml 40]
Orang yang bersyukur jiwanya akan menjadi semakin bersih dan lembut. Dia akan bertambah dekat dan ingat kepada Allah dan semakin sedar bahawa nikmat itu adalah kurniaan Allah yang perlu dipergunakan untuk kebaikan sesama makhluk.
Salah satu cara menzahirkan syukur ialah dengan berkongsi duit, harta, makanan, minuman, kenderaan, ilmu dan sebagainya dengan orang lain. Hal ini kerana rezeki kita, kekayaan kita dan kebahagiaan kita bukanlah kerana usaha kita semata-mata. Boleh jadi kerana doa anak-anak, doa isteri, doa suami, doa ibubapa, doa anak-anak yatim, doa para janda dan fakir miskin atau mereka yang lemah di kalangan kita yang kita berkongsi kekayaan dan nikmat dengan mereka. Nabi saw bersabda:
عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ “ ابْغُونِي ضُعَفَاءَكُمْ فَإِنَّمَا تُرْزَقُونَ وَتُنْصَرُونَ بِضُعَفَائِكُمْ ” . قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
Daripada Abu Darda, dia mendengar Nabi SAW bersabda: “Carilah keredhaan aku dengan berbuat baik kepada orang yang lemah di kalangan kamu kerana sesungguhnya kamu diberi rezeki dan pertolongan disebabkan orang-orang yang lemah di kalangan kamu” (HR Tirmizi No: 1702) Status Hasan Sahih
Rasulullah SAW juga menyuruh kita membantu orang miskin dan janda.
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ – رضى الله عنه – قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم –السَّاعِى عَلَى الأَرْمَلَةِ وَالْمِسْكِينِ كَالْمُجَاهِدِ فِى سَبِيلِ اللَّهِ – وَأَحْسِبُهُ قَالَ ، يَشُكُّ الْقَعْنَبِىُّ – كَالْقَائِمِ لاَ يَفْتُرُ ، وَكَالصَّائِمِ لاَ يُفْطِرُ
Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Orang yang berusaha untuk membantu janda-janda dan orang-orang miskin adalah seumpama orang yang berjihad pada jalan Allah . Al-Qa’nabi–iaitu guru Imam Bukhari dan Muslim–berkata, aku sangka itu seperti orang yang solat malam yang tidak pernah merasakan lelah, dan yang berpuasa yang tidak pernah berhenti berpuasa.” (HR. Bukhari, no. 5353 dan Muslim, no. 2982)
Menurut Ibnu Baththal, berdasarkan hadis ini, sesiapa yang tidak mampu berjihad pada jalan Allah, tidak mampu solat malam, tidak mampu berpuasa sunat pada siang hari, maka hendaklah ia mengamalkan hadis di atas, iaitu hendaklah ia membantu para janda dan orang miskin, agar ia boleh dikumpulkan bersama para mujahid fi sabilillah pada hari kiamat. (Lihat Al-Bahr Al-Muhith Ats-Tsajaj, 45:180)
Ingatlah bahawa kehidupan ini hanyalah sementara, marilah kita sama-sama bersyukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan dengan meningkatkan ketaatan kepadaNya, berkongsi nikmat dengan insan yang memerlukan khususnya di waktu PKP sekarang.
JOM bersama membantu kami dengan merealisasikan masa depan anak-anak kita untuk pendidikan Islam.