Amalan Yang Memasukkan Ke Syurga
Semua orang mengharapkan akan dapat memasuki Syurga Allah. Memasuki syurga Allah itu bukan kerana amal kita yang banyak, tetapi disebabkan rahmat Allah kepada kita. Rasulullah SAW bersabda:
لَنْ يُنْجِيَ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ قَالَ رَجُلٌ : وَلَا إِيَّاكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ : وَلَا إِيَّايَ إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِيَ اللَّهُ مِنْهُ بِرَحْمَةٍ
Maksudnya : “Amalan salah seorang dari kamu tidak akan menyelamatkannya. Seorang lelaki berkata : Walaupun engkau wahai Rasulullah. Nabi SAW menjawab: Walaupun aku akan tetapi Allah saluti aku dengan Rahmatnya.” (HR Muslim: 5165)
Namun bukan bermakna kita tidak perlu beramal soleh. Untuk mendapatkan rahmat Allah, kita perlu melaksanakan apa yang telah diperintahkan dan memperbanyakkan amal kebaikan. Firman Allah SWT :
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا وَٱلَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَـٰهَدُوا فِى سَبِيلِ ٱللَّـهِ أُولَـٰٓئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ ٱللَّـهِ ۚ وَٱللَّـهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”(Surah Al-Baqarah : 218)
Antara amalan soleh yang boleh menjadi penyebab kita mendapat rahmat Allah untuk memasuki syurga disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَأَنْبِئْنِي بِعَمَلٍ إِنْ عَمِلْتُ بِهِ دَخَلْتُ الْجَنَّةَ قَالَ أَفْشِ السَّلَامَ وَأَطِبْ الْكَلَامَ وَصِلْ الْأَرْحَامَ وَقُمْ بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلْ الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya ia mendatangi Nabi SAW seraya berkata; Ya Rasulullah, ceritakanlah kepadaku tentang amalan yang jika aku kerjakan maka aku akan masuk syurga?” maka baginda bersabda: “Sebarkanlah salam, ucapkanlah perkataan yang baik, sambunglah hubungan silaturahim dan solatlah di waktu malam ketika manusia sedang nyenyak tidur, maka engkau akan masuk syurga dengan selamat.” (HR Ahmad No: 9996) Status: Isnad Tsiqah
Berdasarkan hadis di atas, terdapat tiga amalan berkaitan dengan manusia dan satu berhubung kita dengan Allah.
Tiga amalan sesama manusia adalah:
1. Menyebarkan ucapan salam kepada orang Islam yang kita kenal mahupun yang tidak dikenali.
2. Menjaga pertuturan ketika bercakap mahupun menulis dengan mengungkapkan perkataan yang baik, bukan maki hamun, memfitnah mahupun berdusta.
3. Memelihara hubungan silaturahim.
Satu amalan yang berkaitan hamba dengan Allah ialah solat sunat di waktu malam ketika orang lain sedang nyenyak tidur.
Marilah kita memelihara amalan yang menjadi penyebab kita dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat Allah.
JOM bersama membantu kami dengan merealisasikan masa depan anak-anak kita untuk pendidikan Islam. Keistimewaan bulan Dzulhijjah disebut di dalam sebuah hadis.