Setiap kita perlu sentiasa berusaha untuk menjadi orang yang berguna dan bermanfaat kepada orang lain.
Rasulullah SAW mengumpamakan orang mukmin yang berguna dan bermanfaat seperti pohon kurma.
Sebagai Mukmin, kita perlu menjadi bermanfaat di mana jua kita berada serta dalam keadaan apa juga. Jadilah seperti pohon kurma yang bermanfaat di semua bahagian pokok.
Pokok kurma sangat kukuh dan kuat kerana akarnya. Amat jarang dan sukar pokok kurma tumbang ditiup angin berbanding dengan pokok lain.
Seorang Mukmin perlu memiliki sifat sabar dan tabah menghadapi sebarang ujian dan musibah seperti pokok kurma sangat sabar menghadapi angin kencang.
Seorang Mukmin yang kuat dan sabar, imannya mengakar dalam hati dan tidak akan goyah dengan ujian seumpama pohon kurma.
Berusahalah kita menjadi seperti pokok kurma, semakin tua semakin sedap dan berkualiti buahnya. Demikian juga seorang mukmin, semakin tua semakin baik dan berkualiti amalnya serta bermanfaat kepada orang lain.
Berusahalah kita untuk menjadi seperti buah kurma yang sangat bermanfaat. Ketika buah masih basah yang disebut rothab boleh dijadikan buah dan manisan. Ketika kering disebut tamar boleh menjadi sebagai makanan, buah-buahan, manisan, ubat dan manfaat yang pelbagai.
JOM menjadi perumpamaan pohon kurma. Kita perlu berusaha menjadi bermanfaat di mana jua kita berada. Jadilah orang yang semakin baik amalnya sama ada sewaktu kecil, remaja, belia, dewasa mahupun tua.