SYUKURI NIKMAT
Seorang bapa menghadiahkan anak lelakinya bernama Aydan (nama rekaan) sebatang pen. Aydan sangat berterima kasih kepada bapanya. Dengan pen itu, Aydan bebas melakukan apa sahaja yang dia mahu kerana itu hak miliknya. Jadi, bagaimana Aydan membuktikan rasa terima kasihnya?
Adakah dengan menyimpan pen itu tanpa digunakan sehingga sampai satu tempoh dakwatnya rosak/tidak berfungsi? Atau Aydan menggunakannya sambil lewa dan dibiarkan bersepah merata-rata? Ataupun dengan menconteng perkataan F*** di belakang bajunya setelah selesai menduduki peperiksaan? Adakah semua itu selari dengan ucapan terima kasih dengan pemberian bapanya?
Baik, Kita sentiasa dikurniakan nikmat yang terlalu banyak oleh Allah SWT sehingga kita tidak akan mampu mengira dan menyenaraikan kesemua nikmat tersebut. Sudah tentu bila dapat nikmat kita kena bersyukur atau berterima kasih dengan Allah. Biasanya orang akan bertanya, bagaimana cara untuk mensyukuri nikmat Allah. Tapi ayuh kita lihat sudut yang lain.
Sedar tak sedar, sebenarnya SYUKUR juga merupakan satu nikmat Allah SWT pada kita. Ya bahkan rasa bersyukur itu adalah nikmat yang paling agung kerana dengannya, kita dapat mensyukuri nikmat-nikmat Allah yang lain. Maka kita nak tahu, apakah tips untuk mewujudkan rasa SYUKUR dalam hati kita? Perhatikan dalil dari Al-Quran dan Hadis berikut.
1. Doa Nabi Sulaiman Alaihis Salam yang dirakamkan dalam surah An-Naml ayat ke-19:
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِى أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
(Nabi Sulaiman) berdoa: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibubapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah daku dengan rahmatMu dalam kalangan hamba-hambaMu yang soleh.
2. Dalam sebuah Hadis, Rasulullah Sallahu Alaihi Wa Sallam memberi wasiat kepada Muaz bin Jabal:
أُوصِيكَ يَا مُعَاذ، لَا تَدَعَنَّ فِي دُبُرِ كُل الصلاةَ أَن تَقُولَ :
اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Aku berwasiat kepadamu wahai Muaz, jangan kau tinggalkan di akhir setiap solat tanpa berkata/berdoa: Ya Allah ya Tuhanku, bantulah aku dalam mengingatiMu, mensyukuriMu dan dalam kebaikan menyembahMu.
Berdasarkan kedua-dua nas ini, Islam mengajar kita supaya BERDOA memohon pertolongan Allah untuk memiliki sifat Syukur. Ya, kita wajib berdoa. Bermakna, sifat Syukur yang kita ada sekarang ini adalah kerana kurniaan Allah pada kita, bukan kerana usaha kita sendiri. Maka, tanpa bantuan Allah, kita tidak akan mampu rasa bersyukur.
JOM bersama membantu kami dengan merealisasikan masa depan anak-anak kita untuk pendidikan Islam.