Sebaik-baik Manusia

 

Adakah kita tergolong dalam kalangan orang yang terbaik?

Satu daripada kriteria orang yang terbaik adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluarganya. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِى.

Maksudnya: Daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: “Rasulullah SAW berasabda: Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik (hubungannya) dengan ahli keluarganya, dan aku adalah yang paling baik di antara kamu kepada keluargaku.” [HR Tirmidzi No: 3895]

Dalam hadis ini, Nabi SAW menyatakan bahawa untuk menjadi sebaik-baik manusia, seorang muslim perlu berlaku paling baik kepada semua anggota keluarganya. Berbuat baik kepada keluarga menjadi indikator seseorang disebut sebagai sebaik-baik manusia,

Hadis ini menganjurkan orang lelaki khususnya para suami untuk berbuat baik kepada ahli keluarga yang meliputi isteri, anak-anak, kaum kerabat, dan selainnya.

Syeikh Muhammad al-Mubarakfuri mensyarahkan hadis ini bermaksud; berbuat baik kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain berbuat baik kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. (Tuhfat al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (10/269).

Islam amat menitikberatkan hubungan yang penuh kasih sayang antara pasangan suami isteri. Firman Allah S.W.T:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf. (Surah Al-Nisa’ ayat 19).

Dalam ayat ini, Allah S.W.T memerintahkan kepada kaum lelaki agar mereka bergaul dan berurusan dengan orang perempuan melalui cara yang ma’ruf (baik). Arahan tersebut membawa kepada hukum wajib berbuat ma’ruf (baik) kepada orang perempuan dalam urusan kehidupan.

Imam al-Qurthubi pula menjelaskan: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Namun yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami.(Al-Jaami’ Li Ahkam al-Quran, Al-Qurthubi (5/84).

Kewajiban bergaul dengan sebaik mungkin terhadap pasangan, anak-anak dan ahli keluarga lain adalah dituntut. Berbuat baik oleh suami diperlihatkan dengan akhlak mulia, lemah lembut, pemurah, melapangkan nafkah, ringan tulang membantu dan mengasihi sama ada dengan perkataan mahupun perbuatan.

Berbuat baik oleh isteri terhadap suami, anak-anak dan ahli keluarga yang lain juga dituntut.

Jadilah orang yang paling baik dengan sentiasa berlaku baik kepada ahli keluarga kita.

JOM bersama membantu kami dengan merealisasikan masa depan anak-anak kita untuk pendidikan Islam. 

Anda Rasa Pengisian Kami Bermanfaat, boleh LIKE pages kami di :
 
 
kredit : Kapsul Tazkirah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top