Kesungguhan Belajar

Ilmu dipelajari untuk keperluan diri di samping menyebarkan kepada orang lain.

Ada ilmu agama yang wajib dipelajari disamping ilmu lain untuk kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat. Ada ilmu yang statusnya fardhu ain dan ada juga yang fardhu kifayah. Ada ilmu yang wajib di samping ada juga ilmu yang sunat untuk dipelajari. Firman Allah SWT:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah). (Surah al-Taubah ayat:122)

Daripada ayat ini, Allah SWT dengan jelas menyatakan suruhan untuk sebahagian umat Islam mempelajari ilmu agama dan kemudiannya mengajarkannya pada orang ramai.

Syeikh al-Sa’di ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa Allah SWT menyuruh sebahagian daripada umatnya untuk mempelajari ilmu syarak, mempelajari larangan-larangan agama, memahami rahsia-rahsianya, dan mempelajari juga ilmu selainnya dan seterusnya mengajar kaumnya setelah sebahagian dari mereka yang lain pulang (dari berjihad). [Lihat: Tafsir al-Sa’di; hlm.355].

Dengan pelbagai kemudahan yang ada pada hari ini sewajarnya tidak menjadi penghalang kepada setiap Muslim untuk terus belajar. Dengan adanya kemudahan media sosial, ilmu boleh dipelajari secara online di mana sahaja kita berada. Tidak ada alasan masa, tempat mahupun usia. Kita perlu terus belajar. Sebuah kalam hikmah menyatakan: tuntutlah ilmu dari buaian hinggalah ke liang lahad.

Lihatlah bagaimana kesungguhan ulama terdahulu mencari ilmu:

1. Kisah Umar bin Abdul Hakim al-Rawwasi, seorang perawi hadis yang mengembara dalam musim sejuk sehingga rosak jari-jemarinya. Kisah ini direkodkan oleh al-Imam al-Zahabi yang menceritakan:

سقطت أصابعُ عُمَر الرَّوَّاسيّ في الرحلة مِن البرد الشّديد

“Telah gugur rosak jari-jemari beliau (Umar al-Rawwasi) ketika pengembaraan (menuntut ilmu) dalam musim yang sangat sejuk.” (Tarikh al-Islami)

2. Hisham bin Ammar menjelaskan bahawa ayahnya berkorban menjual rumah demi membolehkan dirinya menuntut ilmu. Kata Hisham:

باع أبي بيتًا له بعشرين دينارًا وجهزني لطلب العلم والحج

“Ayahku telah menjual rumahnya bagi mendapatkan 20 wang dinar emas untuk mempersiapkan aku menuntut ilmu dan menunaikan haji.”

Bagaimana dengan kita?

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top