Hadis - Hadis Dalam Bulan Zulhijjah

      Bulan Zulhijjah adalah salah satu bulan yang mulia dalam Islam. Selepas Ramadhan, bulan zulhijjah adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh orang yang beriman yang hatinya sentiasa rindu untuk melakukan ibadat yang pahalanya berlipat kali ganda.

Antara kelebihan-kelebihan bulan Zulhijjah yang ada disebut di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW sangat banyak. Antaranya :

Keberkatan 10 Hari Terawal Dalam Bulan Zulhijjah

  Al – Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A., Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: 

Maksudnya : Tiada hari-hari yang amalan yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini – Baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijjah-” Para sahabat bertanya, ” Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda,” Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”

– Riwayat al-Bukhari (969): Abu Daud (2348), Ibn Majah (1727), al-Tirmizi (757)

Ganjaran Yang Lumayan Jika Beramal Di 10 Hari Awal Zulhijjah

Riwayat Imam Ahmad (5446) di dalam Musnad,al-Baihaqi (3751) di dalam Syu’ab al-Iman

Maksudnya: Tidak ada hari-hari yang besar ganjarannya di sisi Allah dan yang paling Dia sukai agar seseorang mengerjakan amal kebaikan padanya, melainkan 10 hari ini”

Beramal Pada 10 hari Terawal Zulhijjah Lebih Utama Berbanding Berjihad Di Jalan Allah

Maksudnya: “Dan tidak ada malam-malam yang lebih utama daripada 10 malam ini. Ada orang bertanya, “wahai Rasulullah, adakah hari-hari ini lebih utama (melaksanakan ibadah) berbanding jihad di jalan Allah dalam tempoh yang sama?” Baginda menjawab, “Ia lebih utama berbanding jihad di jalan Allah dalam tempoh yang sama, kecuali orang yang dilumuri wajahnya dengan tanah. Tidak ada hari yang terbaik berbanding hari Arafah.”

Riwayat Ibnu Hibban (3853)

Berpuasa Pada Hari Arafah Iaitu Pada 9 Zulhijjah

Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya : Berpuasa hari Arafah aku berharap agar ia dapat menghapuskan dosa-dosa kecil setahun yang lepas dan setahun yang akan datang. (Riwayat Muslim: 1162)

Perbanyakkan Doa Pada Hari Arafah

Umat Islam juga digalakkan perbanyakkan doa pada hari Arafah berdasarkan hadis :

Maksudnya: Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah

Riwayat Al-Tirmizi (3585)

Basahkan Lidah Dengan Zikrullah Seperti Firman Allah :

Maksudnya : Dan hendaklah mereka menyebut-nyebut nama Allah pada hari-hari ma’lumat (10 hari terawal bulan Zulhijjah). ~ Surah Al-Hajj (28)

Sibukkan Diri Dengan Memuji Allah Pada Bulan Zulhijjah

Umat Islam digalakkan untuk memuji Allah. Amalan memuji Allah pada hari-hari yang sangat dicintai adalah satu amalan yang sangat baik. Amalan untuk kita sentiasa mengingati Allah amat dituntut seperti hadis baginda SAW:

Tiada hari-hari yang lebih agung dan disukai oleh Allah untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka perbanyakanlah tahlil, takbir, dan tahmid pada-Nya (HR Ahmad 6154)

Kesimpulan

Umat Islam harus hargai masa dan nyawa yang diberikan kepada kita oleh Allah untuk kita memaksimumkan amalan kita di atas muka bumi ini untuk menjadi bekalan pada akhirat nanti.

Join Telegram kami untuk lembutkan hati dengan ayat-ayat tazkirah kami :

Scroll to Top